Pesta Pelita Raya Daerah Temerloh
Tarikh: 9/03/2026 - 11/03/2026
Tajuk: Pesta Pelita Raya Daerah Temerloh
Deskripsi Tugas:
Pesta Pelita Raya adalah acara tahunan yang menjadi platform penting untuk memperkukuhkan ukhuwah antara agensi kerajaan dan komuniti setempat. Pesta ini merupakan sambutan raya yang diadakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Tourism Pahang. Pesta ini telah diadakan untuk pertama kali pada tahun 2025 di 11 daerah di seluruh Pahang yang merangkumi pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan lampu, persembahan kebudayaan dan jualan untuk produk tempatan. Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh telah terlibat sebagai salah satu pihak yang menganjurkan pesta ini. Sehubungan itu, saya telah menerima tugasan yang diberikan Encik Yusnizam untuk menghasilkan sebuah reka bentuk buku kecil (booklet). Pada peringkat awal, saya telah meneliti komponen kandungan yang perlu diletakkan di dalam booklet yang terdiri daripada tentatif, latar belakang, tema pakaian dan juga aktiviti. Dari sudut reka bentuk, saya memberikan penekanan terhadap visual yang menarik dan mampu menggambarkan keunikan Pesta Pelita Raya bagi daerah Temerloh. Saya menggunakan kombinasi warna gelap bersama tipografi yang berwarna terang untuk memberikan ilustrasi kemeriahan pesta pada waktu malam. Pemilihan palet warna diselaraskan bersama grafik seperti pelita dan corak bermotifkan raya untuk mendapatkan reka bentuk yang artistik. Teks penerangan dihasilkan secara ringkas untuk memperoleh susun atur yang seimbang. Imej kemudiannya diimport masuk ke dalam reka bentuk dan setiap halaman disemak supaya mempunyai kesinambungan. Proses ini mengalami beberapa fasa penambahbaikan yang mana berlakunya pembetulan kesalahan ejaan. Setelah selesai melakukan penyuntingan, reka bentuk ini kemudiaannya dicetak dan dijasikan sebagai buku kecil. Proses penyuntingan mengambil masa selama tiga hari untuk selesai.
1.0 Reka Bentuk Buku Kecil
Cabaran dan Penyelesaian:
Semasa menghasilkan buku kecil ini, saya telah mengalami beberapa halangan yang mencabar ketahanan diri. Cabaran yang saya hadapi adalah untuk keterbatasan kreativiti untuk menghasilkan booklet yang bukan sahaja menarik malah juga informatif kepada pembaca. Saya mengalami masalah untuk mendapatkan idea dan inspirasi yang dapat memenuhi keseimbangan antara nilai estetika dan keberkesanan dalam menyampaikan maklumat. Muka hadapan booklet mengambil tempoh penghasilan yang agak panjang kerana berlakunya percubaan untuk mendapatkan reka bentuk yang sesuai bagi memastikan keseluruhan kandungan booklet dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan. Pada masa yang sama, kekangan masa turut menambahkan tekanan sekaligus telah membataskan idea kreatif yang ingin diaplikasikan ke dalam reka bentuk. Bagi menangani masalah ini, saya mengambil inisiatif untuk bereksperimen dengan elemen visual yang berbeza di rumah sebelum mengabungkan ke dalam reka bentuk booklet. Saya mencuba pelbagai pendekatan dari segi susun atur dan kombinasi warna yang membantu saya untuk menilai kekuatan dan kelemahan bagi setiap variasi reka bentuk dan usaha ini memberikan ruang kepada saya untuk memilih reka bentuk yang sesuai.
Kemahiran dan Pembelajaran:
Sepanjang tempoh pelaksanaan tugasan yang diberikan, saya telah memperoleh pelbagai kemahiran dan pembelajaran yang signifikan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan diri secara menyeluruh. Antaranya ialah keupayaan untuk menyusun kandungan secara sistematik dan terancang, di mana setiap maklumat perlu disusun dengan jelas agar mudah difahami oleh pembaca. Saya juga mempelajari kepentingan keseimbangan antara elemen visual dan teks bagi memastikan reka bentuk yang dihasilkan bukan sahaja menarik, malah berfungsi dengan efektif sebagai medium penyampaian maklumat. Selain itu, saya turut meningkatkan kemahiran dalam penggunaan elemen reka bentuk seperti pemilihan warna, tipografi, susun atur serta penggunaan ruang yang sesuai bagi menghasilkan sebuah booklet yang kemasdan profesional. Saya juga belajar untuk menjadi lebih peka terhadap kepentingan konsistensi visual dalam setiap halaman agar keseluruhan reka bentuk kelihatan harmoni dan tersusun.
Refleksi Diri:
Pengalaman dalam menghasilkan reka bentuk booklet ini telah memberikan impak yang besar terhadap perkembangan diri saya, khususnya dari segi kematangan pemikiran, tahap kreativiti serta disiplin dalam melaksanakan tugasan. Proses yang dilalui membuka ruang kepada saya untuk memahami bahawa penghasilan sesuatu reka bentuk bukan sekadar bergantung kepada idea semata-mata, malah memerlukan perancangan yang teliti, kesabaran serta kesediaan untuk melakukan penambahbaikan secara berterusan.

Comments
Post a Comment