Menghasilkan video korporat untuk Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.
Tarikh: 23/10/2025 - 24/10/2025
Tajuk: Menghasilkan video korporat jabatan PDT Temerloh.
Deskripsi Tugas:
Untuk minggu ketiga di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, saya telah ditugaskan untuk menghasilkan sebuah video korporat jabatan untuk Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh. Video ini bertujuan untuk memperkenalkan jabatan kepada orang ramai yang menonjolkan peranan, fungsi dan perkhidmatan di PDT Temerloh. Proses ini bermula dengan pengumpulan maklumat penting yang perlu dimasukkan di dalam video daripada Encik Yusnizam. Maklumat tersebut merangkumi tentang pegawai kanan, visi, misi, fungsi setiap bahagian serta perkhidmatan yang ditawarkan. Oleh sebab itu, saya berkomunikasi dengan Encik Yusnizam dengan menggunakan aplikasi WhatsApp yang memudahkan urusan perbincangan serta perkongsian maklumat. Platform ini membantu saya untuk mendapatkan maklum balas yang lebih pantas dan efisien kerana komunikasi dilakukan secara dalam talian. Seterusnya, saya menyusun maklumat tersebut mengikut kesesuaian agar jalan cerita menjadi teratur mudah difahami oleh penonton. Konsep video dan babak telah dirancang yang mana dapat memudahkan proses rakaman dan penyuntingan.
Pada peringkat seterusnya, saya bersama rakan rakan pelajar industri telah menjalankan proses rakaman dan bergerak ke setiap unit untuk merekodkan video serta mengambil gambar yang bersesuaian. Video yang diambil meliputi tentang suasana pejabat, urusan kaunter perkhidmatan, aktiviti kakitangan serta persekitaran pejabat. Klip rakaman ini direkodkan dengan teliti yang mana sudut pencahayaan dan kualiti visual amat dititikberatkan. Perkara ini penting untuk memastikan kualiti klip dirakam dengan baik untuk mendapatkan hasil akhir video yang lebih profesional. Setelah selesai, saya mula mengumpulkan dan menggabungkan klip rakaman mengikut info-info yang diperoleh sebelum ini dengan menggunakan aplikasi CapCut. Semasa proses ini berlangsung, saya menyusun video-video ini mengikut jalan cerita yang telah dirancang, menambah teks, transisi, muzik latar dan elemen grafik. Beberapa gambar juga telah diambil dan disunting menggunakan aplikasi Canva sebelum digabungkan bersama klip-klip yang lain di dalam aplikasi CapCut. Video ini kemudiannya dihantar kepada Encik Yusnizam untuk mendapatkan maklum balas. Pengubahsuaian juga telah dilakukan mengikut maklum balas yang diberikan oleh Encik Yuznizam.

1.0 Suntingan Video Korporat Menggunakan Aplikasi Canva
Cabaran yang saya hadapi adalah peralatan dan medium untuk menghasilkan video adalah terhad. Peralatan yang saya gunakan adalah telefon bimbit serta komputer riba. Saya menggunakan telefon bimbit untuk untuk merekodkan video yang menghasilkan rakaman dalam kualiti yang rendah. Rakaman ini mempunyai pixel yang pecah yang menghasilkan imej kabur dan menggangu resolusi video. Saya menyelesaikan masalah tersebut dengan menggunakan kemudahan AI yang disediakan dalam aplikasi untuk menukarkan klip-klip yang blur kepada HD. Selain itu juga, saya juga mengalami masalah keterbatasan dari segi kreativiti. Situasi ini berlaku kerana proses penyuntingan memerlukan idea yang unik dan inovatif untuk menghasilkan video korporat yang menarik serta dapat menambat hati penonton. Namun, disebabkan oleh kekangan dari segi pengalaman dan teknik, ianya telah membataskan kualiti penyuntingan video. Oleh sebab itu, saya melakukan banyak rujukan terhadap video profesional untuk meningkatkan lagi kualiti video. Dengan melakukan rujukan ke atas contoh-contoh video profesional, saya dapat meneroka dan menggunakan klip template yang sesuai untuk diletakkan di dalam video korporat.
Sepanjang tempoh ini, saya telah mempelajari untuk menggunakan dan mengaplikasi AI dalam proses penyuntingan video yang secara langsung telah meningkatkan kualiti kerja. Teknologi ini dimanfaatkan dengan menukarkan menukarkan rakaman yang berkualiti rendah kepada yang lebih tinggi. Penggunaan kemudahan ini telah membolehkan proses penambahbaikan dijalankan dengan lebih cekap dan menjimatkan masa. Di samping itu juga, saya berpeluang untuk meneroka pelbagai kemudahan AI yang disediakan dan dapat mencuba teknik penyuntingan yang lebih kompleks yang mana sukar untuk dilakukan secara manual. Kemudahan AI ini membenarkan kandungan digital menjadi lebih kreatif dan inovatif serta mendorong hasil kerja yang profesional.
Melalui pengalaman ini, Saya diberikan tugasan untuk menghasilkan video. Sepanjang proses ini berlangsung, saya telah mengalami beberapa kekangan terutamanya berkaitan dengan penggunaan elemen yang terhad. Walau bagaimanapun, perkata ini dapat diatasi dengan memanfaatkan kemudahan AI yang membantu dalam melancarkan proses kerja serta meningkatkan kualiti hasil akhir. Justeru itu, perkara ini juga telah membuka peluang kepada saya untuk memahami AI dengan lebih mendalam untuk penghasilan video. Perkara ini dapat membantu saya untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan saya untuk dipertingkatkan pada masa yang akan datang dalam bidang ini. Saya berhasrat untuk menguasai penggunaan AI dengan teliti kerana teknologi ini merupakan satu bidang yang semakin terkenal yang berubah mengikut peredaran masa dan yang mana berguna untuk meningkatkan kecekapan kerja.

Comments
Post a Comment